Sekali lagi, sahabat Adam iaitu Tengku Najihah a.k.a Mooku berkongsi tentang kisah Islamik ini kepada Adam. Jom baca kisah ini;
Antara waktu solat Maghrib dan Isyak, di sebuah masjid di Texas, imam
sedang menyiapkan beberapa kerja pengurusan di pejabat. Pintu diketuk
dan seorang lelaki menjengulkan wajah. Rambutnya panjang berikat, misai
dan janggutnya panjang tumbuh meliar.Gayanya seperti penunggang yang
meredah freeway dengan 'cooper' Harley Davidson- Live to Ride! "Nama
saya Carlos." Tangan dihulur sambil memperkenalkan namanya. Imam
menunggu apa yang bakal diperkatakan seterusnya oleh tetamu asing ini.
" Saya ingin memeluk Islam." Suara garuk keluar dengan lancar dari ulas
bibirnya. Imam tidak menjangka mendengar itu daripada lelaki ini.
Sepintas lalu dia mengamati lelaki yang hanya mengenakan leather vest
pada tubuhnya yang penuh tatoo. Di bahagian dada terpampang begitu besar
gambar lelaki disalib; gambaran Jesus. Pada lengan sasanya terdapat
gambar wanita mendukung bayi; gambaran Mary mendukung Jesus. Badannya
jadi kanvas memperaga mural keagamaan seperti yang terdapat di dinding
gereja ortodoks. Iman menyahut permintaanya. Carlos diajarkan dua
kalimah syahadah. Setelah berjaya menyebutnya dengan lancar, Carlos
berhenti seketika melayan emosinya; bergenang air pada kelopak matanya
yang redup.
"Apakah yang mendorong kamu untuk menjadi seorang Muslim, wahai Carlos?"
Carlos merenung lembut ke wajah imam. "Saya membesar sebagai seorang
Kristian sejati." Dia memulakan cerita, seperti ada bau setanggi gereja
bersama mukadimah cerita itu. "Sejak kecil saya dididik menyayangi
Jesus.' Bicaranya lancar. Imam mengangguk-angguk mendengar dengan tekun.
""Kasih sayang terhadap Jesus menjadi destinasi hidup saya, kerana itu
kamu dapat lihat tubuh saya ini penuh dengan gambar Jesus." Dia menunjuk
ke serata tubuhnya.
"Saya benar-benar menyayangi Jesus...." dia menyambung dengan suara
sedikit kuat, berbaur emosi yang tidak dapat disembunyikan. "Semuanya
berjalan seperti biasa hinggalah tiga hari lepas." Dia terhenti
seketika. "Pada malam itu saya bermimpi. Saya melihat cahaya dingin yang
terang-benderang; ia begitu menyilaukan. Di balik cahaya itu, terdengar
suara yang sangat jelas, menyeru nama saya: Carlos, sekiranya kamu
menyayangi Jesus dengan ikhlas, jadilah seorang Muslim... Hanya Islam
meletakkan Jesus pada kedudukan yang benar." Carlos menggayakan dengan
penuh perasaan ketika dia tersentak dan terjaga daripada tidur.
"Mimpi seperti itu datang berulang kali dalam tidur pada malam-malam
berikutnya. Ia membulatkan tekad dan membawa saya ke mari." Carlos
menutup kisahnya tepat pada masa saat azan Isyak dilaungkan. Allah Maha
Besar ! Allah Maha Besar ! Gemersik laungan azan memenuhi ruangan
masjid, menusuk ke kalbu Carlos. Habis azan, imam bangkit untuk keluar.
"Apa yang harus saya buat sekarang?" tanya Carlos meminta bimbingan. "
Kamu ikut sahaja apa yang saya lakukan sepanjang solat nanti," ujar imam
penuh mesra. Berdirilah Carlos di saf belakang imam. Dia mengikut
perlakuan imam; qiam (berdiri), rukuk, iktidal dan sujud daripada satu
rakaat ke satu rakaat. Kesemua itu dilakukan dengan begitu sukar dan
kekok, namun terserlah ketundukannya sebagai seorang Muslim.
Selesai imam memberi salam, Carlos masih khusyuk di dalam sujudnya.
Selang beberapa detik berlalu, imam bangun dan duduk di sebelah Carlos
yang masih sujud. "Carlos... kita telah habis solat." Imam menggoncang
tubuh Carlos. Tubuh itu terkulai dan terbaring; imam segera merapatkan
telinga ke dada Carlos. Sedetik imam berhenti, suasana begitu sunyi.
Terluncur dari bibir imam: Inna lillah wainna ilaihi raji'un."
Carlos rupanya telah meninggal dunia. Allah menjemput pulang Carlos
dalam sujudnya yang terakhir. Pulang dalam keadaan bersih sesuci bayi
yang baru lahir. Baru tadi dia mengucap syahadah disaksikan azan Isyak;
pada sujud solat Isyaknya pula ia pulang menghadap Tuhannya. Allah
berkuasa memberi hidayah kepada Carlos pada saat terakhir hidupnya,
walaupun sebelum itu dia tidak pernal kenal erti Islam dan kebenarannya.
Dia ditakdirkan oleh Allah untuk diberi hidayah dan tergolong sebagai
orang yang beruntung.
Rasulullah S.A.W menyebutnya tentang ini dalam sabda baginda: "Demi
jiwaku yang berada di dalam genggaman-Nya, ada dikalangan kamu yang
melakukan amalan ahli neraka sepanjang hidupnya sehingga antaranya dan
neraka tinggal sehasta sahaja lagi, maka datang baginya ketentuan yang
telah tertulis buatnya lalu dia melakukan amalan ahli syurga lalu
masuklah di kedalam syurga." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Hidayah itu milik Allah, beruntunglah kepada sesiapa yang diberi hidayah
oleh Allah SWT. Semoga kita semua termasuk golongan yang mendapat
Hidayah dan Taufik daripada Allah SWT.. Sumber: Cerita ini diambil
daripada Majalah Q & A, Edisi Perdana di ruangan Cermin Ajaib..
Mohon Di Share:
Judul: Kisah pemuda bertatu gambar Jesus mendapat hidayah Allah
Diposting Oleh Unknown
Tolong berikan saran dan kritik sahabat di kolom komentar. Salam blogger, Terima kasih
No comments:
Post a Comment